LUAR NEGARA

67 kanak-kanak maut di Gaza sejak gencatan senjata – UNICEF

VIENNA – Sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak maut di Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata terbaharu antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam.

Selain itu, berpuluh-puluh kanak-kanak lain dilaporkan cedera dengan sebahagian besar masih menunggu pemindahan untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar wilayah berkenaan.

Jurucakap UNICEF, Ricardo Pires berkata bahawa situasi bagi kanak-kanak sangat membimbangkan.

“Tidak ada tempat yang selamat untuk mereka,” ujarnya seperti dilaporkan agensi berita Jerman, dpa.

Tambah Pires walaupun keadaan perubatan di Gaza sedikit membaik, kira-kira 4,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang cedera parah masih menunggu pemindahan untuk rawatan lanjut.

Genjatan senjata yang dimeterai antara Israel dan Hamas pada Oktober lalu telah beberapa kali dilanggar sekali gus, menimbulkan kebimbangan berterusan dalam kalangan penduduk tempatan.

Martin Penner daripada Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, ketibaan musim sejuk memberi tekanan tambahan kepada penduduk dengan suhu menurun dan hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan cabaran baharu yang bakal dihadapi.

Menurut Penner, penghantaran bantuan telah membantu menstabilkan bekalan makanan membolehkan kedai roti dan dapur tempatan menyediakan makanan kepada penduduk, manakala pasar tempatan kembali menerima bekalan.

Bagaimanapun, banyak barangan masih terlalu mahal untuk dibeli oleh kebanyakan keluarga dengan harga seekor ayam mencecah US$25 (RM104).

“Keadaan lebih baik berbanding sebelum gencatan senjata tetapi masih banyak yang perlu dilakukan,” kata Penner.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button