Zahid luang masa ziarah Tajuddin
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi sahabat seperjuangannya, Datuk Seri Tajuddin Rahman di kediamannya di Bukit Damansara sejurus pulang dari Kuching, Sarawak.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kunjungan tersebut dilakukan dalam suasana Aidilfitri yang masih dirasai meskipun Syawal hampir ke penghujung.
“Di penghujung Syawal ini, suasana Aidilfitri masih terasa dan menjadi lebih bermakna apabila dapat menziarahi sahabat seperjuangan, bertanya khabar serta meluangkan sedikit masa bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beberapa gambar yang dimuat naik dalam hantaran tersebut memperlihatkan Tajuddin berada dalam keadaan berkerusi roda ketika menerima kunjungan berkenaan, sekali gus mengundang doa dan perhatian orang ramai terhadap tahap kesihatannya.
Sehubungan itu, Zahid turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan sahabatnya itu.
“Sama-sama kita mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan. InsyaAllah,” katanya lagi.
Sementara itu, Tajuddin menerusi ruangan komen hantaran berkenaan menzahirkan penghargaan atas kehadiran Zahid.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Seri Zahid, Presiden UMNO yang telah menziarahi saya sebentar tadi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








