LUAR NEGARA

Wartawan Palestin miliki 1.4 juta pengikut dakwa akaun TikTok dipadam

GAZA – Wartawan Palestin yang memenangi Anugerah Emmy, Bisan Owda, mendakwa akaun TikTok miliknya disekat secara kekal, hanya beberapa hari selepas platform media sosial itu diambil alih oleh pelabur baharu di Amerika Syarikat.

Owda yang mempunyai kira-kira 1.4 juta pengikut di TikTok berkata, beliau dimaklumkan mengenai sekatan tersebut tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada pihak platform berkenaan.

“TikTok memadamkan akaun saya. Saya telah membina platform itu selama empat tahun,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram dan X, semalam.

Beliau yang juga penyumbang kepada AJ+ Al Jazeera dari Gaza berkata, sebelum ini kandungannya hanya dikenakan sekatan sementara dan tidak menyangka akaunnya akan disekat sepenuhnya.

Al Jazeera dilaporkan telah mengemukakan pertanyaan kepada TikTok berhubung tindakan tersebut dan masih menunggu maklum balas rasmi daripada pihak syarikat.

Beberapa jam selepas kenyataan Owda dibuat, satu akaun dengan nama pengguna sama masih kelihatan di TikTok, namun memaparkan notis bahawa kandungan tertentu tidak tersedia kerana dianggap sensitif.

Hantaran terakhir yang dapat dilihat bertarikh 20 September 2025.

Owda turut mengaitkan sekatan berkenaan dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta Ketua Pegawai Eksekutif TikTok bagi pasaran Amerika Syarikat, Adam Presser, berhubung dasar moderasi kandungan platform tersebut.

Owda dikenali menerusi video harian yang merakamkan kehidupan di Gaza dengan ungkapan, “It’s Bisan from Gaza – and I’m still alive.” Dokumentari beliau bertajuk sama bersama AJ+ memenangi Anugerah Emmy 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, sekatan terhadap Owda berlaku ketika akses wartawan asing ke Gaza masih dihadkan, walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

Menurut Committee to Protect Journalists (CPJ), sekurang-kurangnya 207 wartawan dan pekerja media Palestin dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button