HIBURAN

Vokalis Arch Enemy, Alissa White-Gluz umum tinggalkan kumpulan selepas 12 tahun

HALMSTAD – Peminat muzik metal dikejutkan apabila vokalis Arch Enemy, Alissa White-Gluz mengumumkan meninggalkan kumpulan itu selepas 12 tahun bersama.

Berita itu diumumkan secara berasingan oleh White-Gluz dan pihak Arch Enemy di media sosial semalam.

Alissa berkata, selepas 12 tahun bersama Arch Enemy kedua-dua pihak mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

“Saya amat berterima kasih kepada ribuan peminat hebat yang saya temui sepanjang perjalanan ini. Terima kasih, Beastlings!.

“Saya tidak sabar untuk berkongsi projek solo dan beberapa kejutan besar dijadualkan pada 2026,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Segera selepas pengumuman itu, Alissa melancarkan single solo pertamanya berjudul The Room Where She Died, yang ditulis bersama pemain gitar Oliver Palotai dari Kamelot/Doro.

Beliau berkata, lagu tersebut memberi ruang untuk mengekspresikan diri yang telah lama terpendam dan akan diikuti dengan album solo.

Arch Enemy pula memaklumkan telah berpisah dengan vokalis Alissa White-Gluz.

“Kami menghargai masa dan muzik yang telah dikongsi bersama serta mendoakan yang terbaik untuknya.

“Di mana ada pengakhiran, pasti ada permulaan. Jumpa anda pada 2026,” katanya dalam satu hantaran ringkas di laman Facebook.

Alissa White-Gluz menyertai Arch Enemy pada 2014 menggantikan vokalis terdahulu, Angela Gossow dan menyumbang vokal pada empat album kumpulan itu iaitu War Eternal (2014), Will To Power (2017), Deceivers (2022) dan Blood Dynasty (2025).

Pemergian Alissa menandakan penutup satu era bagi Arch Enemy, namun peminat kini menantikan karya solo baharu beliau yang dijangka mencuri perhatian pada 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button