Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
HYDERABAD – Bintang filem, C. Joseph Vijay hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu Tamil Nadu selepas berjaya meraih sokongan parti-parti lain untuk mencapai majoriti legislatif yang diperlukan.
Penyokong parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang diketuai beliau meraikan kemenangan itu dengan membakar mercun dan mengagihkan manisan di beberapa bandar ketika Vijay,51, mengangkat sumpah jawatan yang disempurnakan oleh gabenor negeri di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai.
Hadir sama pada upacara berkenaan, bapanya, S.A. Chandrasekhar; ibu, Shobha; pelakon Tamil, Trisha Krishnan serta pemimpin Parti Kongres, Rahul Gandhi.
Sembilan menteri kabinet turut mengangkat sumpah pada majlis berkenaan.
Vijay berjanji untuk mewujudkan kerajaan yang telus serta memperbaiki aspek keselamatan dan ketenteraman di negeri yang mempunyai 77 juta penduduk itu.
Terdahulu, TVK memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya dewan undangan negeri April lalu, namun masih kurang daripada 118 kerusi yang diperlukan untuk majoriti sendiri dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.
Parti Kongres, sekutu utama parti pemerintah terdahulu Dravida Munnetra Kazhagam (DMK), memberikan sokongan kepada Vijay bersama Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India-Marxis (CPI-M), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) dan Indian Union Muslim League (IUML) bagi menamatkan ketidaktentuan berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Gabenor negeri, Rajendra Vishwanath Arlekar semalam melantik Vijay sebagai ketua menteri dan memintanya mendapatkan undi percaya selewat-lewatnya 13 Mei.
Jurucakap DMK, Saravanan Annadurai sebelum itu berkata, bekas ketua menteri, M.K. Stalin tidak mahu berlaku krisis perlembagaan di negeri itu dan telah memujuk sekutunya supaya menyokong Vijay dalam pembentukan kerajaan, menurut laporan media tempatan.
Parti Kongres mempunyai lima kerusi manakala empat lagi parti masing-masing mempunyai dua wakil dalam dewan undangan negeri yang baharu dipilih itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







