[VIDEO] Pengasuh dedah kronologi kejadian kematian bayi Amelia dalam podcast Caprice
KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh yang menjadi saksi utama kes kematian bayi Amelia Natasya Mohd Syazwan di Taska Al Kauthar Eduqids, Bangi Gateway, tampil mendedahkan kronologi kejadian yang disaksikannya termasuk keadaan mangsa ketika ditemui sebelum dibawa ke hospital.
Saksi yang dikenali sebagai Cikgu Fina berkata, beliau menemui bayi berkenaan dalam keadaan dibedung dan ditelangkup dalam ‘baby court’.
“Ketika saya mengangkat Amelia, dia berada dalam keadaan kebiruan dan sudah lembik,” katanya melalui video yang dimuat naik selebriti Caprice di media sosial.
Menurutnya, bayi itu kemudian segera dibawa ke Hospital An-Nur untuk mendapatkan rawatan kecemasan, sebelum beliau disoal siasat oleh pihak polis di hospital berkenaan.
Cikgu Fina berkata, pihak polis kemudiannya pergi ke Taska Al Kauthar Eduqids bagi meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berkaitan dengan kejadian tersebut.
@malaysiatribune Caprice dedah temubual bersama ‘Cikgu Fina’ yang merupakan saksi utama kes kematian bayi di bawah jagaan Alhauthar Eduquids pada tahun 2023. Kelmarin, ibu mangsa menuntut pihak berkenaan mendedahkan rakaman CCTV yang sehingga kini masih belum dilihat mereka sekeluarga. #malaysiatribune #beritasemasa #videoreelsシ #trending
“Selepas polis melihat CCTV, saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi utama dalam kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini masih belum menerima sebarang surat panggilan mahkamah, walaupun telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa beliau diperlukan sebagai saksi utama dalam prosiding kes berkenaan.
“Saya sendiri tidak pasti status kes ini, sama ada laporan ditarik balik atau kes tidak diteruskan, kerana saya masih menunggu surat mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Cikgu Fina turut mendedahkan beliau berdepan tekanan emosi dan pergerakan yang terhad sepanjang tempoh menunggu perkembangan kes tersebut.
“Saya tidak dibenarkan balik kampung, tidak boleh pergi ke klinik atau ke mana-mana sendiri. Walaupun sakit dan demam, saya tidak dibenarkan keluar mendapatkan rawatan sendiri,” katanya.
Beliau turut mendakwa pernah mengalami sesak nafas di asrama tempat tinggalnya sehingga doktor terpaksa dipanggil datang ke lokasi untuk memberikan rawatan.
“Semasa dirawat, saya dikerumuni pekerja di situ termasuk Teacher Mama dan saya tidak berpeluang bercakap secara bebas dengan doktor atau mana-mana pihak,” katanya.

Kes kematian bayi Amelia di Taska Al Kauthar Eduqids sebelum ini mencetuskan perhatian awam, namun perkembangan terkini kes tersebut masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, ibu bayi tersebut turut membuat pendedahan di podcast Caprice berhubung kes tersebut.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan taska atau pihak polis berhubung status siasatan terkini kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






