BERITA SEMASA

Pendekatan baharu universiti pastikan graduan kerja dalam bidang masing-masing

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu memastikan statistik kebolehpasaran graduan bukan sekadar angka, sebaliknya benar-benar mencerminkan pekerjaan yang setara dengan bidang pengajian bagi mengelakkan berlakunya isu ketidakpadanan dalam pasaran kerja.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, laporan yang diterima daripada politeknik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 97 hingga 98 peratus, namun persoalan utama ialah sama ada peratusan tersebut benar-benar merujuk kepada pekerjaan dalam bidang masing-masing.

“Saya tanya mereka, beritahu saya perkara sebenar. Adakah 98 peratus itu benar-benar mendapat pekerjaan dalam bidangnya? Atau sekadar bekerja tetapi bukan dalam bidang pengajian? Di sinilah berlaku isu *underemployment*,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 anjuran Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), di sini.

Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan graduan institusi teknikal dan vokasional bukan sahaja memperoleh pekerjaan, tetapi pekerjaan yang setara dengan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki.

“Dengan adanya kerjasama rapat antara institusi dan industri, kita dapat pastikan tidak berlaku *underemployment*. Kita tidak mahu graduan bekerja di luar bidang kerana akhirnya ia menjejaskan produktiviti dan pembangunan bakat negara,” ujarnya.

Baca juga : Nilai graduan bukan pada gaji tapi pada bakti

Dalam pada itu, Zambry menegaskan sudah tiba masanya negara mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja teknikal asing, khususnya dalam sektor berkemahiran tinggi.

“Kita tidak boleh selamanya bergantung kepada tenaga kerja teknikal dari luar. Walaupun terdapat permintaan daripada negara-negara lain untuk membawa masuk tenaga kerja mereka, itu tidak bermakna kita terus bersetuju,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya kementerian menandatangani perjanjian membawa masuk 10,000 pekerja dari Bangladesh tahun lalu.

“Permintaan memang ada, tetapi setiap permohonan dinilai dengan teliti. Fokus kita adalah menyediakan tenaga kerja tempatan yang kompeten supaya kita tidak terlalu bergantung kepada tenaga luar dalam bidang yang bersifat *highly technical*,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan syarikat teknologi tinggi, yang menurutnya berjaya membangunkan ekosistem industri berimpak tinggi dengan lebih 90 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada rakyat tempatan.

“Mereka mengambil graduan daripada MTUN, politeknik dan kolej komuniti. Malah syarikat tersebut memerlukan lebih ramai tenaga mahir sehingga mencadangkan untuk menubuhkan kolej sendiri bagi memenuhi permintaan industri,” katanya.

Sehubungan itu, Zambry berkata, kementerian memperkenalkan pendekatan baharu dalam sistem pendidikan tinggi negara melalui konsep ‘empat kuadran universiti’ bagi memperluas akses dan kaedah pembelajaran.

Menurutnya, selain mengekalkan model tradisional berasaskan kampus, pendekatan baharu itu merangkumi sistem fleksibel seperti pengambilan kursus merentas institusi, kerjasama rapat dengan industri secara ‘Uber-like’ serta pembelajaran berasaskan aplikasi di lokasi industri dengan pemantauan pensyarah dan pengesahan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Konsep ini membuka ruang kepada pembelajaran berasaskan industri tanpa perlu terikat sepenuhnya kepada model kampus berskala besar semata-mata. Apa yang penting, kelayakan itu tetap diiktiraf dan divalidasi oleh universiti serta MQA,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan tersebut diyakini mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan teknikal dan memastikan peratusan pekerjaan yang dilaporkan benar-benar mencerminkan pekerjaan dalam bidang masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button