BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tun Abdullah umpama bapa dalam karier politik saya – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri (PM) kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang bapa yang membentuk perjalanan dunia politik dan selok-belok pentadbiran negara.

Mengulas pemergian bekas PM kelima itu, Ismail Sabri berkata seluruh negara berduka atas kehilangan seorang tokoh negarawan yang telah mengabdikan dirinya untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Seluruh rakyat, khususnya saya secara peribadi amat menghargai jasa Allahyarham. Saya banyak terhutang budi dengan Allahyarham,” tulis beliau melalui satu hantaran di Facebook malam tadi.

Tambah beliau, Allahyarham memainkan peranan penting dalam membentuk kerjaya politiknya apabila diberi peluang untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum 2004

“Seterusnya Allahyarham mengangkat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008.

“Allahyarham Pak Lah seperti seorang bapa yang memimpin dan membimbing saya dalam politik dan pentadbiran kerajaan sehingga mencapai kemuncaknya,” jelas Ismail Sabri.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Al-Fatihah,” katanya.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara sekitar 7.10 petang semalam.

Allahyarham akan terus dikenang sebagai tokoh yang membawa pendekatan Islam Hadhari serta meletakkan asas kukuh dalam pelbagai dasar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button