BERITA SEMASA

Institut Kanser Negara legasi Pak Lah demi kebajikan rakyat – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Penubuhan Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya merupakan antara legasi bekas perdana menteri, Tun Abdullah Badawi kepada rakyat khususnya mereka yang terkesan akibat penyakit berkenaan.

Perkara itu dikongsikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Kata beliau, pusat itu dibangunkan di bawah naungan Allahyarham yang kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada 2005.

Tambahnya, IKN adalah institusi perubatan kanser yang dibina khas untuk memberikan kemudahan khusus dalam rawatan dan perubatan bagi pesakit kanser di negara ini.

“Satu tapak berkeluasan 0.431 hektar yang terletak di Presint 7, Putrajaya dikenal pasti sebagai lokasi strategik IKN kerana terletak bersebelahan Hospital Putrajaya dan Putrajaya Sentral.

“Ketika itu, saya diberikan tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan IKN demi manfaat orang ramai.

“Allahyarham banyak berjasa dalam pembangunan modal insan di Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberi bantuan kepada pesakit kanser,” katanya dalam hantaran tersebut.

Allahyarham Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada pukul 7.10 malam tadi.

Allahyarham yang berusia 85 tahun dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button