TUDM nafi dakwaan lengah perintah Mahkamah Rayuan
KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan dakwaan pihaknya sengaja melengahkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan tanpa alasan munasabah.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai notis permohonan pengkomitan yang dikemukakan oleh Tetuan Zalil Mohd & Partners berhubung perkara berkenaan dan telah menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“TUDM menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang mendakwa pihak kami dengan sengaja melengahkan pelaksanaan perintah mahkamah tanpa alasan munasabah.
“TUDM memandang serius pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan. Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur perkhidmatan serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pada 10 Oktober lalu, seorang bekas sarjan TUDM, Ahmad Zaini Zainon, dilaporkan memfailkan permohonan prosiding komital terhadap Panglima TUDM atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Mei lalu untuk mengadakan perbicaraan semula kesnya.
Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Zalil Mohd & Partners pada 25 September lalu dan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Oktober ini.
Dalam afidavit sokongannya, Ahmad Zaini mendakwa, pihak responden masih tidak melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan berkenaan tanpa alasan munasabah dan menyifatkan kelewatan itu sebagai tindakan disengajakan.
Ahmad Zaini, 42, disabit kesalahan oleh Mahkamah Tentera pada 22 September 2021 mengikut Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 kerana kesalahan dadah, sebelum diberhentikan daripada perkhidmatan pada 22 April 2022.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan kehakiman Ahmad Zaini pada 6 Februari 2024, namun Mahkamah Rayuan pada 20 Mei lalu membenarkan rayuannya dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tentera untuk perbicaraan semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








