Enam juruterbang TUDM jalani latihan operasi pesawat FA-50M di Korea Selatan
KUALA LUMPUR – Enam juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini menjalani latihan intensif bersama Tentera Udara Korea (ROKAF) di Korea Selatan sebagai persediaan mengoperasikan pesawat FA-50M Light Combat Aircraft (LCA) yang bakal memasuki inventori pertahanan negara.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, program latihan yang berlangsung selama 15 minggu bermula 26 Januari hingga 8 Mei itu dilaksanakan di 16th Fighter Wing ROKAF.

Ia merangkumi latihan ground school, sesi simulator serta latihan penerbangan sebenar menggunakan pesawat T-50/TA-50.
“Sepanjang tempoh tersebut, juruterbang TUDM mempelajari secara mendalam sistem pesawat keluarga T-50 melalui kelas teori sebelum menjalani 18 sesi simulator dalam persekitaran latihan yang realistik.
“Mereka juga melaksanakan 13 sortie penerbangan latihan yang melibatkan manuver udara, penerbangan instrumen, penerbangan formasi serta operasi penerbangan malam bagi membina kemahiran taktikal secara menyeluruh,” kata TUDM.
Tambahnya, program latihan itu bukan sahaja menumpukan kepada kemahiran pengendalian pesawat malah turut menekankan pembangunan keupayaan operasi taktikal yang diperlukan bagi pesawat FA-50M yang berperanan sebagai pesawat Light Combat Aircraft.
“Melalui bimbingan juruterbang ROKAF yang berpengalaman, juruterbang TUDM turut didedahkan kepada prosedur operasi serta doktrin penerbangan taktikal yang diamalkan oleh Korea Selatan.
“Selepas menamatkan latihan pesawat T-50, juruterbang TUDM akan meneruskan latihan Lead-In Fighter Training (LIFT) di 1st Fighter Wing ROKAF menggunakan pesawat TA-50 Block 2.
“Latihan ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran tempur termasuk operasi udara ke udara dan udara ke darat dalam persekitaran latihan yang lebih kompleks dan realistik,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut TDUM, perolehan pesawat FA-50M itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pelan pembangunan keupayaan jangka panjang TUDM, iaitu Capability Development Plan 2055 (CAP55) Fasa 1, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Terdahulu, pada tahun 2023, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah memeterai kontrak dengan Korea Aerospace Industries (KAI) bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50M LCA/FLIT untuk kegunaan TUDM.
TUDM dijangka menerima dua pesawat pertama pada Oktober 2026, manakala baki pesawat akan diterima secara berperingkat.
Pesawat FA-50M itu akan berperanan dalam pelbagai misi termasuk pertahanan udara, latihan juruterbang pejuang, pengawasan serta operasi serangan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi pasukan.
“Melalui program latihan bersama ROKAF ini, juruterbang TUDM bukan sahaja memperoleh kemahiran pengendalian pesawat baharu, malah turut mempelajari sistem latihan serta pengalaman operasi yang telah dibangunkan oleh Korea Selatan selama beberapa dekad.
“Kepakaran yang diperoleh dijangka menyokong usaha pemodenan TUDM selaras dengan aspirasi CAP55 dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” kata TUDM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







