BERITA SEMASA

Titah Sultan Selangor selari amalan Raja Berperlembagaan

SHAH ALAM – Dakwaan segelintir pemimpin politik bahawa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15, 20 April lalu sebagai mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri adalah sama sekali tidak wjar.

Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor dalam satu kenyataan hari ini sebaliknya menegaskan, titah Baginda adalah selari dengan amalan Raja Berperlembagaan di negara ini.

Tegas kenyataan itu, titah Sultan merupakan nasihat bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.

“Dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan di dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Rundingan membawa maksud bahawa Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Baginda Sultan mengetahui apa yang berlaku disamping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, Baginda sering menerima aduan rakyat berkaitan isu banjir, kutipan sampah, jalan rosak dan pelbagai masalah infrastruktur lain di negeri ini.

Malah katanya, aduan yang diterima bukan berbentuk surat layang kerana disertakan dengan butiran lengkap termasuk nama, alamat dan nombor telefon sebagai bukti bagi Sultan menegur kerajaan negeri atas kesulitan dan masalah dihadapi mereka.

“Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan.

“Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya.

Dewan Di-Raja Selangor turut menzahirkan keyakinan bahawa Sultan Selangor yang mempunyai pengalaman memerintah selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda memahami sepenuhnya peranan Baginda dalam kerangka Raja Berperlembagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button