BERITA SEMASA

Raja Melayu mesti bekerjasama, bersatu bantu rakyat – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh di antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa membantu ketika berdepan sebarang permasalahan rakyat.

“Ini sangat penting kerana peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu-isu agama, malah turut membabitkan isu-isu semasa lain,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, semalam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerima menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Dalam pertemuan selama lebih sejam itu, baginda dan Tunku Mahkota Ismail membincangkan pelbagai isu yang melibatkan institusi raja dan arena bola sepak tanah air.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan kepada semua kerabat diraja
supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum atau di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati dan disayangi rakyat.

Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama Raja-Raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media-media sosial.

“Mengenai bola sepak, kesefahaman telah dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan dan pertelagahan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

“Baginda menegaskan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara,” kata kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button