Tindakan spontan anak undang sebak: “Abah, Iman nak bawa abah naik pentas!”
KUALA LUMPUR – Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di sini semalam, menyaksikan momen penuh emosi apabila seorang pelajar cemerlang secara spontan mengajak ayah dan adiknya naik bersama ke pentas ketika menerima sijil penghargaan.
Mesej ringkas “Abah, Iman nak bawa abah naik pentas tau. Standby!” yang diterima penulis motivasi keibubapaan, Ammar Kamilin mencetuskan dilema buat dirinya ketika hadir meraikan kejayaan anaknya, Iman Ahmad, 18.
“Biasanya pelajar naik seorang-seorang. Ini acara rasmi. Mana boleh naik ramai-ramai,” kata Ammar yang terkejut dengan mesej tersebut dalam satu hantaran video di Facebook.

Namun, tanpa menghiraukan kebiasaan dan protokol, Iman tetap nekad.
Beberapa saat sebelum namanya diumumkan, dia sekali lagi menghantar mesej meminta Ammar membawa sekali adik perempuannya, Zayda.
Dalam keadaan serba salah dan gemuruh, Ammar akhirnya membuat keputusan pantas: “Jom Zayda!”
Mereka berdua berjalan perlahan melalui lorong tengah dewan, menarik perhatian ramai yang kehairanan.
Sebaik tiba di hadapan pentas, Iman terus mendukung Zayda dan ayahnya mengikuti dari belakang tepat ketika namanya diumumkan.
Lebih mengejutkan, Iman meminta guru menyampaikan sijil terus kepada ayahnya.
“Ustaz bagi sijil pada abah saya,” katanya bersungguh.
Walaupun kelihatan melanggar aturan, pengetua sekolah menyambut baik tindakan itu.
“Tak apa. Iman ni kami kenal perangai dia,” ujarnya dengan senyuman.
Momen itu menjadi lebih bermakna apabila Iman mendedahkan bahawa tindakannya bertujuan untuk mengulang kenangan zaman sekolah rendah, di mana ibu bapanya pernah bersama-sama naik ke pentas menyambut kejayaan.
“Sebenarnya, Iman nak ‘repeat’ semula momen gambar yang ada kat bilik Iman,” katanya.

Ammar dalam catatannya melahirkan rasa terharu dan syukur atas tindakan Iman yang menurutnya sangat tidak dijangka tetapi penuh makna.
“Saya suka kepada aturan. Tapi awak, sangat random. Alhamdulillah, awak masih mahu abah ada dalam setiap kejayaan awak,” tulisnya.
Momen menyentuh hati ini turut meraih reaksi positif dalam kalangan ibu bapa yang hadir serta warga sekolah.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 12,100 tontonan.
Sebelum ini, status Ammar mengenai anaknya itu turut tular di media sosial di atas kejayaannya meraih keputusan SPM yang cemerlang meskipun pernah gagal pada awalnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















