Tiga rakyat Malaysia ditahan di Thailand, disyaki keldai dadah sindiket antarabangsa – PDRM
KUALA LUMPUR – Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dipercayai terlibat sebagai keldai dadah dalam sindiket antarabangsa.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan tersebut di wilayah timur laut Thailand, Khon Kaen dalam satu operasi semalam.
Ketika ditahan, Polis Thailand turut merampas 97 kilogram (kg) methamphetamine jenis krista, dengan suspek didakwa menerima upah 60,000 Thai Bath (RM7,424).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Polis Thailand sudah berkongsi maklumat lengkap berkaitan penahanan itu melalui Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) di sempadan negara.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang ditahan berasal dari Sarawak dan berusia 20-an.
“Mereka diupah sindiket dadah antarabangsa untuk membawa dadah dari Laos ke Thailand menggunakan laluan kereta api dengan bayaran 60,000 Thai Bath.
“Kita juga sedang menyiasat kaitannya dengan sindiket Malaysia,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, semua lelaki itu adalah keldai dadah yang terpedaya dan rakyat Malaysia dinasihatkan untuk berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran kerja.
Terdahulu media negara itu melaporkan, tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa menemui tiga beg pakaian tidak dituntut yang mengandungi dadah di dalam sebuah tren dari Nong Khai menuju ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat di Bangkok.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Biro Siasatan Pusat (CIB) dengan kerjasama State Railway of Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Bahagian Polis Lebuhraya sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan penumpang serta membanteras jenayah dalam perkhidmatan rel.
Menurut kenyataan CIB, pegawai rondaan pada 8 April mengesan tiga beg besar berwarna hitam yang berkunci secara kombinasi dan diletakkan di rak bagasi dalam sebuah gerabak ketika tren melalui wilayah Khon Kaen.
Penemuan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








