JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga lelaki ditahan curi elektrik lombong bitcoin, TNB rugi lebih RM1.2 juta

JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga lelaki disyaki mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin dalam serbuan berasingan sekitar negeri ini pada Selasa dan semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 48 tahun ditahan menerusi Op Letrik yang dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut beliau, serbuan melibatkan sembilan premis di sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Segamat dan Tangkak, menyaksikan rampasan sebanyak 87 mesin melombong bitcoin yang dianggarkan bernilai RM217,500.

“Turut dirampas beberapa unit telefon bimbit, komputer riba, modem router serta anak kunci yang dipercayai digunakan dalam operasi tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menyasarkan kawasan perumahan dan rumah kedai sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Kumar, kegiatan mencuri bekalan elektrik itu menyebabkan kerugian kepada TNB dianggarkan sebanyak RM1,289,371.86.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mengganggu bekalan elektrik secara haram.

Polis dan TNB akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti seumpama itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button