BERITA SEMASA

Tiga kapal diserang dekat Selat Hormuz, harga minyak melonjak hampir 10 peratus

DUBAI – Sekurang-kurangnya tiga kapal dilaporkan diserang berhampiran Selat Hormuz semalam, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan laluan tenaga terpenting dunia itu.

Laluan strategik berkenaan mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas global.

United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) dalam kenyataan memaklumkan dua kapal terkena peluru tidak dikenali, manakala sebuah lagi melaporkan letupan berlaku pada jarak sangat dekat.

Bagaimanapun, kesemua kru dilaporkan selamat.

Dalam pada itu, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mendakwa tiga kapal tangki milik United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) telah terkena peluru berpandu dan sedang terbakar, namun dakwaan tersebut belum disahkan pihak terlibat.

Susulan amaran Iran supaya kapal dagang tidak melalui Selat Hormuz, lebih 150 kapal tangki kini dilaporkan berlabuh di perairan Teluk dan menangguhkan perjalanan masing-masing.

Penganalisis pasaran tenaga menyifatkan situasi itu seolah-olah “penutupan tidak rasmi” laluan berkenaan berikutan risiko keselamatan serta lonjakan kos insurans.
Kesan ketegangan itu turut dirasai pasaran komoditi apabila harga minyak Brent melonjak lebih sembilan peratus kepada AS$79.50 setong ketika dagangan Asia dibuka.

Minyak mentah WTI pula meningkat 8.4 peratus kepada AS$72.66 setong.

Pakar memberi amaran harga minyak berpotensi melepasi paras AS$100 setong sekiranya konflik berlanjutan dalam tempoh panjang.

Walaupun pakatan pengeluar minyak OPEC+ bersetuju menambah pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari, penganalisis berpendapat langkah itu mungkin tidak mencukupi untuk menstabilkan pasaran sekiranya laluan utama itu terus berisiko tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat perkapalan antarabangsa Maersk dilaporkan menghentikan laluan melalui Bab el-Mandeb dan Terusan Suez, sebaliknya memilih untuk mengelilingi Tanjung Harapan sebagai langkah keselamatan.

Pemerhati ekonomi menjangkakan gangguan berpanjangan di laluan perkapalan utama dunia itu boleh memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan global serta mendorong kenaikan harga petrol di banyak negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button