Tiada rekod penuntut dituduh hina, pijak al-Quran peluk Islam – MUIP
KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran pengislaman penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Rasulullah SAW.
Menurut Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman, semakan dalam pangkalan data mendapati nama individu terbabit tidak tersenarai sebagai mualaf berdaftar di bawah seliaan pihaknya.
Pada masa sama, pihaknya turut membuat pemeriksaan silang dengan pihak berkuasa agama di beberapa negeri bagi mendapatkan pengesahan lanjut, lapor SH Online.
“Setakat ini, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur turut mengesahkan tiada rekod pengislaman bagi penuntut berkenaan.
“Bagi negeri-negeri lain, kami masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung status pendaftarannya,” katanya, hari ini.
Dr Asmadi berkata, pihaknya juga telah menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat beliau, sebelum ini.
“Beliau (bagaimanapun) masih belum memberikan sebarang maklum balas,” kata Dr. Asmadi.
Semalam, pendakwah bebas, Firdaus Wong mendedahkan, lelaki terbabit berhubung dengannya melalui Instagram dan bersungguh-sungguh meminta dibimbing untuk memeluk Islam.
Terdahulu hari ini, pelajar berkenaan, K Vikneswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial.
Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






