Pengurus jualan mengaku tidak bersalah ludah polis, hina Islam
ALOR SETAR – Seorang pengurus jualan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan melukakan perasaan penganut agama Islam pada Rabu lalu.
Tertuduh, Teoh Siew Li, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan meludah Lans Koperal Jelnazir Helman atas niat menghalang anggota polis itu menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan telah menyebut ‘baru satu batang saja bodoh’ dan menunjukkan jari tengah kepada Lans Koperal Jelnazir Helman.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan Lans Koperal Jelnazir Helman yang beragama Islam dengan mengeluarkan perkataan ‘Nabi Muhammad kurang ajar punya agama’.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau keduanya sekali.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di hadapan sebuah syarikat di Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong di sini, pada jam 12 tengah hari, 31 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit menjadi perhatian awam dan video kejadian mendapat lebih 500 hantaran di media sosial.
Siew Li kemudian dalam rayuannya memaklumkan gajinya sebagai pengurus jualan adalah RM6,000 sebulan dan masih menanggung ibu, adik dan adik iparnya selepas kematian bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 20 Januari bagi tarikh sebutan semula, serahan dokumen dan pelantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita tempatan dipercayai melakukan kekacauan serta bertindak agresif serta memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di kawasan Mergong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











