JENAYAH & MAHKAMAH

Tetak hingga mati, ahli kongsi gelap didakwa membunuh

TANGKAK – Seorang ahli kongsi gelap antara tiga lelaki didakwa atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang di khalayak ramai hingga maut, dua bulan lalu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini, hari ini.

Tertuduh, Pan Wei Siang, 24, Henry Lau Yi Sheng, 26 dan Tan Ah Chai, 32, hanya mengangguk sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.

Ketiga-tiga tertuduh tidak dirakamkan pengakuan kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tong Wee Sheng, 38, di tepi sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar, Sungai Mati di sini, pada 7.20 petang, 13 Mac lalu.

Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam sementara Mohd Razak Shariff bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan forensik dan bedah siasat serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Julai ini untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian itu, Wei Sheng disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan anggota kumpulan terbabit, dengan muncul beberapa buah kereta yang dinaiki suspek.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar tiga lelaki masing-masing membawa parang serta menutup muka dengan baju sejuk serta topeng.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button