JENAYAH & MAHKAMAH

Jurujual mengaku bersalah tetak penunggang motosikal

SHAH ALAM – Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan, minggu lalu.

Tertuduh, Azmi Jantan, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, Mohd Fairus Jaafar, 45, menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang merupakan senjata boleh membawa maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13 pada jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isteri serta hanya bekerja sebagai jurujual.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Julai ini untuk prosiding seterusnya bagi mengemukakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas video memaparkan seorang penunggang motosikal cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan lengan akibat ditetak seorang lelaki lain di laluan motosikal lebuh raya berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran selepas mangsa membunyikan hon kerana suspek menghalang laluan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button