Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara, Ten Hag mahu United tumpu EPL
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mahu anak buahnya menumpukan usaha dalam melonjakkan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dikecewakan Bayern Munich 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Bagi melayakkan diri ke ke pusingan 16 terakhir, juara Eropah tiga kali itu perlu menewaskan Bayern pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan berharap aksi Copenhagen menentang Galatasaray berakhir seri, namun sebaliknya yang berlaku.
United menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan selepas hanya mengumpul empat mata daripada enam perlawanan, sekali gus menutup peluang untuk beraksi dalam Liga Europa.
“Banyak lagi perlawanan boleh ditempuhi dan kini kami boleh fokus, tentunya terhadap Liga Perdana dan inilah tahap yang kami mahu bermain iaitu dalam Liga Juara-Juara, jadi kami perlu berusaha untuk berada dalam kelompok empat teratas dan kembali ke Liga Juara-Juara tahun depan.
“Sudah tentu, kami ada Piala FA, masih ada banyak pertandingan yang akan kami harungi,” kata Ten Hag menurut laporan Reuters.
Pada aksi awal pagi tadi, United tewas tipis di tangan Bayern dengan gol tunggal Kingsley Coman pada minit ke-70 membantu Bayern ke pusingan 16 terakhir.
Lebih menyedihkan, United gagal mencipta banyak peluang dengan hanya satu percubaan tepat ke arah gol dalam perlawanan tersebut.
Untuk rekod, United menghuni tangga keenam EPL selepas 16 perlawanan, enam mata di belakang pasukan tangga keempat. Liverpool di puncak carta dengan 37 mata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








