Amorim mohon maaf, akui United ‘hilang arah’ selepas diaibkan Grimsby
GRIMSBY, England – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memohon maaf kepada penyokong selepas mengakui pasukannya ‘benar-benar hilang arah’ ketika dimalukan Grimsby Town dalam penyingkiran mengejut Piala Liga menerusi penentuan penalti dramatik 12-11 awal pagi tadi.
Kekalahan kepada kelab Liga Dua itu dianggap detik paling rendah buat United di bawah kendalian Amorim, sekali gus menutup awal sebarang sinar optimisme yang muncul menjelang musim baharu.

Amorim mengakui persembahan hambar anak buahnya jelas mencerminkan masalah besar dalam skuad.
“Saya rasa ini sudah sampai ke hadnya. Sesuatu perlu berubah. Pemain-pemain sudah bersuara dengan jelas malam ini.
“Pasukan terbaik menang, satu-satunya pasukan yang benar-benar berada di atas padang. Cara kami memulakan perlawanan tanpa sebarang intensiti, kami benar-benar hilang arah,” katanya memetik laporan BBC.
United ketinggalan 0-2 seawal 30 minit pertama dan hampir dibolosi kali ketiga selepas rehat sebelum Bryan Mbeumo dan Harry Maguire menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke sepakan penalti.
Bagaimanapun, selepas Matheus Cunha gagal menyempurnakan sepakan yang sepatutnya menamatkan penentuan penalti dalam lima sepakan awal, semua pemain berjaya menjaringkan sehingga giliran Mbeumo yang sekali lagi menjadi watak utama tetapi sepakannya sekadar menggegar palang, lalu memberi kemenangan bersejarah buat Grimsby.
Tambah Amorin, fokus kini perlu diberikan kepada aksi hujung minggu sebelum ruang digunakan untuk menilai kelemahan pasukan.
Kekalahan ini sekali gus menutup salah satu daripada hanya dua peluang realistik United untuk meraih trofi musim ini, selepas mereka menamatkan musim lalu di tangga ke-15 – pencapaian terburuk sejak tersingkir pada 1974.
Lebih mengecewakan, Amorim sebenarnya menurunkan barisan sarat pemain antarabangsa bernilai ratusan juta pound walaupun melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan utama yang seri 1-1 menentang Fulham, Ahad lalu.
Benjamin Sesko membuat penampilan sulung selepas perpindahan £74 juta (RM422 juta) dari RB Leipzig, manakala penjaga gol, Andre Onana pula melalui malam yang mengecewakan dalam penampilan semula di gawang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








