Tahan jasad bayi: dua laporan diterima, polis rakam keterangan lima saksi
KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes tular mayat bayi lelaki disimpan di dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang selepas ibu bapanya gagal menjelaskan bil rawatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, pihaknya telah mengambil keterangan daripada ibu bapa bayi berkenaan, dua orang doktor yang bertugas di hospital tersebut serta seorang saksi awam yang merupakan rakan kepada keluarga mangsa.
“Setakat ini, kita telah memanggil lima saksi untuk membantu siasatan. Beberapa lagi individu termasuk kakitangan hospital akan dipanggil, selain mendapatkan dokumen berkaitan daripada pihak hospital,” katanya.
Menurut laporan Buletin TV3, kesemua saksi hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sejak semalam bagi memberikan keterangan.
Hussein turut memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pengendali akaun Facebook ‘Mr. Wan Chai Official’, yang berkongsi isu tersebut sehingga menjadi tular.
Sehingga kini, polis telah menerima dua laporan daripada ibu dan bapa bayi berkenaan yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat menuntut jenazah anak mereka untuk dikebumikan.
Mereka mendakwa pihak hospital berkeras tidak menyerahkan mayat kerana bil rawatan masih belum dilangsaikan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP). Kita sedang menjalankan siasatan mendalam bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menerusi perkongsian di media sosial mendakwa pihaknya terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memandikan jenazah bayi lelaki tersebut. Mayat bayi itu dilaporkan disimpan di dalam peti sejuk mayat hospital selama dua minggu kerana kegagalan ibu bapanya melunaskan bil hospital.
Kes tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan aspek kemanusiaan dan pengurusan jenazah oleh pihak hospital.
Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan teliti dan isu ini akan ditangani secara berhemah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















