6 tahun tuntut keadilan, Syed Saddiq hormati institusi kehakiman, akur tunggu 2 minggu lagi
PUTRAJAYA – “Saya hormat institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi rakyat Malaysia yang mencari keadilan.”
Demikian kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keputusan rayuan akhir kesnya yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan hari ini ditangguhkan kepada 13 Julai depan.
Beliau berkata, beliau tidak mengharapkan layanan istimewa atau jalan pintas dalam usaha mendapatkan keadilan, sebaliknya mahu proses perbicaraan dilaksanakan berdasarkan fakta serta data di bawah institusi kehakiman negara.
“Saya ingin mendapatkan keadilan bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri,” katanya dalam sidang media di perkarangan Istana Kehakiman hari ini.
Terdahulu, Keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed yang sepatutnya diputuskan hari ini ditangguhkan ke 13 Julai selepas salah seorang panel hakim tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit.
Penangguhan itu dimaklumkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais di Istana Kehakiman hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menyifatkan penangguhan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan dan mengakui sukar untuk beliau memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, kes berkenaan bukanlah perkara baharu apabila beliau telah lebih enam tahun berjuang untuk mendapatkan keadilan, membersihkan nama serta memulihkan maruah diri.
“Kalau perlu menunggu dua minggu lagi, saya akur dan patuh. Ini bukan soal kekecewaan peribadi. Apa yang penting ialah keadilan mesti ditegakkan,” katanya.
Mengulas sama ada penangguhan tersebut memberi kesan kepada persiapan perkahwinannya, beliau menegaskan perkara itu berada di luar konteks perbicaraan mahkamah.
“Maaf, saya berada di sini untuk membincangkan soal institusi kehakiman. Saya menghormati keputusan yang telah dibuat. Isu persiapan perkahwinan berada di luar skop perkara ini,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan akan berbincang bersama peguam dan ahli keluarga bagi meneruskan usaha mendapatkan keadilan dalam kes berkenaan.
“Saya akan bercakap dengan peguam dan ahli keluarga saya untuk terus fokus mendapatkan keadilan yang kami cari,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







