BERITA SEMASA

SUV terbabas di LPT2: Wanita putus kaki kiri, empat lagi cedera

DUNGUN – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kaki kirinya terputus dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, petang semalam.

Mangsa berusia 57 tahun dan menaiki kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Proton X70 dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam nahas tersebut.

Kemalangan pada pukul 5.41 petang itu turut mencederakan empat lagi penumpang kenderaan tersebut yang dipercayai terdiri dalam kalangan ahli keluarga mangsa.

Sewaktu kejadian, wanita tersebut bersama ahli keluarganya dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Hazamullah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, pada pukul 5.41 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan terbabit terbabas di lokasi kejadian.

“Mangsa yang putus kaki kiri dari paras lutut ke bawah itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Bahagian kaki yang terputus turut ditemukan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Nor Hazamullah berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Empat lagi mangsa di dalam kenderaan itu turut cedera dan dihantar ke Hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button