BERITA SEMASA

Dakwaan kenderaan SUV tidak boleh didaftarkan sebagai e-hailing tidak benar

KUALA LUMPUR – Kenderaan utiliti sukan (SUV) masih layak didaftarkan sebagai kenderaan e-hailing selagi memenuhi syarat teknikal dan kapasiti tempat duduk yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tiada sebarang perubahan dasar dilakukan berhubung kelayakan jenis kenderaan untuk digunakan dalam perkhidmatan e-hailing.

“Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO).

“Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, dilaporkan berkata, pengecualian SUV sebagai kenderaan yang diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu terhadap nasib sumber pendapatan mereka.

Beliau berkata, pemandu SUV kini berdepan kesukaran mengemas kini permit e-hailing masing-masing.

Dalam pada itu, Loke berkata, kementerian memahami kebimbangan yang timbul dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali.

“Kementerian beri jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button