Muatan berlebihan punca kemalangan maut lori FRU di Teluk Intan
KUALA LUMPUR – Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan mendapati, muatan berlebihan pada sebuah lori ‘tipper’ membawa batu kerikil dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan maut membabitkan kenderaan itu dengan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Berdasarkan laporan yang boleh dimuat turun dari portal rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT), siasatan itu bertujuan untuk mengenal pasti punca kejadian serta mencadangkan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya negara.
Menurut MOT, laporan tersebut disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri sebelum ini, bagi menyiasat kejadian di Jalan Chikus–Sungai Lampam ketika anggota FRU dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Ipoh selepas bertugas mengawal perarakan Hari Wesak di Teluk Intan.
“Hasil siasatan mendapati punca utama kemalangan adalah akibat muatan berlebihan pada lori tipper melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.
“Keadaan ini menyebabkan lori kehilangan kawalan dan bertembung dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh,” menurut kenyataan itu.
Laporan itu juga menjelaskan bahawa tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng.
Sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan,termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi.
Pasukan Petugas Khas turut mengemukakan 16 syor keselamatan merangkumi enam bidang utama termasuk peningkatan pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP)–Keselamatan, penambahbaikan Akta 715 serta penambahan ciri keselamatan pada kenderaan kerajaan termasuk pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.
MOT menegaskan bahawa siasatan keselamatan itu tidak bertujuan menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya memberi fokus kepada memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama itu tidak berulang.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut dalam kemalangan tersebut.
Antara mangsa yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar manakala sembilan lagi anggota mengalami kecederaan dan menerima rawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






