JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek bunuh isteri di Seberang Jaya direman 7 hari

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang tampil menyerah diri selepas mengaku membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya di sini, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret di Mahkamah Bukit Mertajam berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 18 Disember bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Helmi, pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 11.30 pagi semalam yang mendakwa dia telah membunuh isterinya di kediaman mereka.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT segera ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas sebuah tilam di bilik tidur. Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

“Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mengambil beberapa sampel berkaitan. Turut ditemui ialah sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Helmi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan manakala mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya segera tampil ke IPD SPT atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button