Suami culas bayar nafkah bekas isteri, anak dipantau
MELAKA – Golongan suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak akan terus dipantau.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan sewajarnya sedang dan telah dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Dalam prosedur ataupun di dalam mahkamah syariah sudah ada peruntukan undang-undangnya.
“Jadi (jika keculasan berlaku) kita ikut peruntukan undang-undang seperti mana yang telah diperuntukkan serta kuat kuasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada program Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Peduli: Sehari Bersama Komuniti MADANI di Kampung Paya Redan, di sini hari ini.
Antara langkah sedang diusahakan kerajaan sebagai tindakan terhadap perlaskuan sedemikian adalah menyita simpanan kewangan bekas suami yang culas membayar nafkah.
Laporan media sebelum ini menyebut, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.
“Ini adalah inisiatif yang terbaik membantu mereka yang memerlukan khususnya dari aspek nafkah dan sebagainya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








