HIBURAN

Pernah bercerai 2 minggu, Beego dan Linda Hashim rujuk semula

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon, Linda Hashim, 39, dan Beego, 43, mengesahkan pernah bercerai pada 27 Mac lalu, namun membuat keputusan untuk rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April lalu.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, perceraiannya dan suami itu berlaku disebabkan tiada persefahaman, selain kurang berkomunikasi.

“Perceraian kami bukan disebabkan oleh penyondol (orang ketiga). Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana dihadapi pasangan lain.

“Macam yang saya katakan, kami memang berhadapan masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia berpunca, mungkin kerana banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, Linda hadir bersama Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Sementara itu, Beego berkata, apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka adalah asam garam dalam perhubungan setiap pasangan suami dan isteri berkahwin.

“Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin akan berhadapan ujian-ujiannya. Lima tahun awal (berkahwin) diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji perkara lain.

“Apapun, saya bersyukur kami boleh berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga semula demi perasaan kami dan anak-anak,” katanya kepada Harian Metro.

Beego berkata, dia dan isterinya selama ini tidak berkongsi paparan kisah kehidupan mereka dalam media sosial. Bagaimanapun, dia tidak menduga masalah rumah tangga dan perceraian diketahui media.

“Saya terkejut kedatangan kami ke mahkamah pagi ini diketahui media. Ini kerana, saya berusaha menyembunyikan kisah rumah tangga kami kerana melihat ramai pasangan selebriti kini berhadapan masalah rumah tangga,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button