‘Suami, ayah yang penyayang’ – Isteri Koperal Mohd Hafizul sebak kenang pemergian
ALOR SETAR – “Arwah seorang suami dan ayah yang baik. Dia penyayang, suka tolong keluarga dan mentua,” luah Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, isteri kepada Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang maut dirempuh penjenayah dalam kejadian di Taman Golf, semalam.
Menurut Nur Azhanis, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian tragis itu dan masih menjalani rutin harian seperti biasa.
“Kelmarin, dia balik lewat. Saya dah tidur sebab kena bangun awal untuk kerja. Tapi semalam sebelum kejadian, dia sempat ambil anak kami di sekolah. Itu memang rutin harian dia walaupun sibuk dengan tugas.
“Anak-anak sangat rapat dengan dia. Sekarang mereka masih belum faham apa yang berlaku,” katanya memetik laporan BH online.
Katanya, arwah tidak pernah meluahkan apa-apa yang mencurigakan, namun sebelum ini pernah menyuarakan rasa bimbang terhadap tugasan baharunya di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Sebelum ini dia bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB), tapi sejak dipindahkan ke JSJ, dia ada cakap risau sebab tugasnya lebih mencabar,” katanya lagi.
Nur Azhanis berkata, mereka telah berkahwin selama 12 tahun dan dikurniakan tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun. Arwah telah berkhidmat selama 15 tahun di Kontinjen Kedah.
Jenazah Koperal Mohd Hafizul dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis maut selepas dirempuh kenderaan dinaiki suspek pecah rumah di Taman Golf, di sini semalam.
Empat suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 akta sama kerana pecah rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








