BERITA SEMASA

Speaker perlu jadi pengadil bijak, adil – Johari

MELAKA – Peranan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai pengadil yang bijak, adil dan berkecuali perlu diperkukuh bagi memastikan institusi legislatif terus dihormati serta keyakinan rakyat terpelihara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, dewan perlu berfungsi sebagai ‘house of democracy’, iaitu platform utama demokrasi yang diamalkan secara tertib, sekali gus menjadi medium pendidikan kepada pemimpin masa depan.

“Institusi legislatif sangat penting kerana ia melambangkan kedudukan kita dalam urusan perundangan negara.

“Speaker mesti dilihat sebagai pengadil adil, tidak memihak mana-mana parti politik dan bertindak saksama supaya keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Persidangan selama empat hari itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Johari menekankan dalam era kepercayaan awam terhadap institusi yang sering teruji, Speaker perlu menjadi benteng mempertahankan integriti dewan sebagai institusi semak dan imbang terhadap badan eksekutif.

“Setiap keputusan, teguran dan ruang bahas daripada Kerusi Speaker menyumbang kepada usaha menyuburkan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.

“Ahli dewan bukan lagi mewakili parti atau kepentingan peribadi tetapi membawa suara rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, persidangan turut membincangkan keseragaman pemahaman dan amalan antara negeri kerana Malaysia mempunyai latar belakang demografi berbeza.

“Kita mahu memastikan prinsip demokrasi difahami sama rata di seluruh negara, sama ada di Johor, Kelantan, Pahang atau negeri lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button