BERITA SEMASA

Solat hajat pohon doa, kesembuhan buat Bung Moktar

KINABATANGAN – Penduduk di sekitar kawasan Parlimen di sini mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan buat Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Anaknya, Naim Kurniawan Moktar berkata, selaku wakil keluarga, beliau menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh imam di Lamag yang telah berusaha mengadakan solat hajat dan memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanya.

“Doa dan keprihatinan para imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Isteri beliau, Datin Seri Zizie Izette A Samad, turut memuat naik sekeping foto di Instagram disertai kata-kata yang mencerminkan perasaan dan keteguhan hatinya dalam menghadapi ujian ini.

“Mungkin mereka tidak mengenali hatinya, tetapi saya mengenalinya. Selama 16 tahun, saya menyaksikan sifat baiknya, kemurahan hatinya, serta kasih sayangnya yang tidak mementingkan diri terhadap orang lain. Tolong sisipkan dia dalam doa anda,” tulisnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dilaporkan dimasukkan ke hospital berikutan keadaan kesihatannya.

Bagaimanapun ahli keluarganya tidak mendedahkan mengenai tahap kesihatan beliau dan hanya meminta orang ramai mendoakan kesembuhan ayahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button