BERITA SEMASA

Simposium Fabrik ASEAN 2025 fokus kelestarian tekstil tradisi dan inovasi

KUALA LUMPUR – Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini memberi tumpuan kepada kelestarian tekstil menerusi pendekatan tradisi, inovasi dan masa depan bersempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian program yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Tekstil Negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap di majlis tersebut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia atas kejayaan penganjuran simposium berprestij itu.

Katanya, muzium bukan sekadar tempat penyimpanan artifak malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembelajaran, dialog dan penciptaan bersama dalam kalangan masyarakat.

“Tekstil bukan sekadar hasil seni tetapi pembawa naratif peradaban, identiti dan hubungan antara komuniti. Dalam dunia yang serba moden, pemeliharaan tradisi mesti seiring dengan inovasi.

“Kita tidak hanya mahu tradisi kekal, kita mahu ia terus hidup secara bermakna,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama serantau perlu terus diperkukuh menerusi penyelidikan tekstil, pembangunan kapasiti, penjenamaan warisan serta pencalonan produk budaya secara bersama di peringkat antarabangsa seperti pencalonan kebaya ke UNESCO oleh Malaysia bersama lima negara ASEAN lain.

Simposium dua hari itu menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada institusi permuziuman, ahli akademik, pelajar, agensi kerajaan, NGO, profesional dan penggiat seni tekstil dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 12 kertas kerja bakal dibentangkan oleh pakar akademik, pembuat dasar dan artisan dari negara-negara ASEAN dengan sesi dikendalikan oleh empat moderator berpengalaman.

Menurut Aaron, penganjuran simposium itu diharap menjadi pemangkin kepada wacana tekstil serantau yang lebih inklusif dan berdaya tahan sekali gus membina ekosistem ASEAN yang mampan dan berpandangan jauh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button