BERITA SEMASA

‘Sidang Dewan Rakyat bukan pasar borong’ – Timb Speaker

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor menegur Ahli Parlimen supaya tidak menjadikan sidang Dewan Rakyat seperti di pasar borong.

Teguran itu dibuat susulan pertikaman lidah beberapa ahli Parlimen berhubung perkara yang dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) semasa sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini.

“Saya nak dengar, kalau yang berhormat nak juga jadi pasar borong, fakta tak dapat direkod dan penjelasan saya tak dapat dengar jadi saya minta kerjasama agar bertenang… janganlah kita ubah kuorum ini menjadi pasar ikan,” katanya.

Terdahulu ketika perbahasannya, Takiyuddin mempersoal penggunaan tiga helikopter oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebuah majlis di Sungai Besar, Selangor yang didakwanya menggunakan peruntukan besar, sedangkan sebelum ini Anwar dikatakan menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk bantu golongan sasar.

Kenyataan Takiyuddin itu menyebabkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mencelah dan meminta penjelasan berhubung perkara itu, selain Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.

“Apa yang dikatakan (Ahli Parlimen) Kota Bharu adalah fitnah apabila nyatakan kerajaan belanja berpuluh ribu ringgit buat helipad untuk perdana menteri, kena tanya fakta betul atau tidak… apa yang Kota Bharu kata semua daripada netizen, cybertrooper mereka, tidak boleh buat apa-apa tuduhan tidak berasas.

“Jangan ikut laporan daripada Facebook atau TikTok mereka, tetapi kita ini di dewan mulia, kita tak boleh bawa apa sahaja daripada netizen sebagai satu kebenaran, (kenyataan) itu bukan kebenaran,” katanya.

Turut bangun pada sesi itu ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 37 (2) mengenai pengerusi mempunyai kuasa tidak membenarkan mana-mana ahli dewan minta penjelasan jika dipercayai mempunyai niat untuk mengacau ahli dewan yang sedang berucap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button