Caj sewa niaga tapak parkir RM400 ikut kadar rasmi, bukan budi bicara pegawai – MDB
BALING – Majlis Daerah Baling (MDB) menegaskan caj RM400 yang dikenakan kepada seorang peniaga di tapak berhampiran KFC Pekan Baling adalah kadar rasmi yang telah ditetapkan, bukannya ditentukan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pegawai majlis.
Menurut kenyataan rasmi MDB, bayaran itu melibatkan tiga komponen iaitu Lesen Perniagaan Sementara (RM100), Sewa Tapak Perniagaan (RM200) dan Caj Kutipan Sampah (RM100).
“Kesemua caj ini adalah caj tetap yang telah ditetapkan dalam jadual kadar dan bukannya amaun yang ditentukan secara peribadi oleh pegawai atau kakitangan Majlis,” jelas kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, seorang pempengaruh yang juga peniaga minuman hipster melahirkan rasa kecewa berhubung caj RM400 bagi sewa parkir di Baling yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Pada masa sama, MDB turut menafikan dakwaan bahawa caj tersebut hanya untuk tempoh tiga jam, sebaliknya kadar itu sah bagi tempoh sehari penuh sehingga jam 12 tengah malam.
Sementara itu, berhubung tuduhan tidak profesional terhadap seorang pegawai Bahagian Pelesenan yang digelar “Aishah400”, MDB menjelaskan siasatan mendapati tiada pelanggaran etika kerja.
“Namun, pegawai berkenaan telah diberi teguran agar mengekalkan tahap profesionalisme demi menjaga nama baik Majlis,” katanya.
Dalam pada itu, MDB juga memberi komitmen untuk menyemak semula kadar caj berkenaan melalui Jawatankuasa Tetap Pelesenan selain memperkukuh aspek perkhidmatan pelanggan.
“Pihak majlis menzahirkan permohonan
maaf kepada orang awam atas kekeliruan yang timbul serta menyeru semua pihak menghentikan isu ini daripada terus disensasikan demi kepentingan bersama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








