LUAR NEGARA

Houthi mara kuasai pantai Laut Merah, ancam laluan perkapalan dunia

SANAA – Pasukan Houthi di Yaman dilapor memperhebat usaha menguasai pantai Laut Merah termasuk mendakwa berjaya menawan pelabuhan strategik Mocha dalam pertempuran paling sengit dengan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

Kemaraan kumpulan yang disokong Iran itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan salah satu laluan perkapalan utama dunia, selain berpotensi memberi Tehran dan sekutunya pengaruh lebih besar terhadap dua laluan strategik bagi perkapalan Barat, iaitu Selat Bab al-Mandab di selatan Laut Merah dan Selat Hormuz di Teluk.

Penguasaan pantai Laut Merah serta beberapa pulau di kawasan itu dianggap perkembangan strategik yang serius bagi Arab Saudi dan Amerika Syarikat, khususnya ketika perang Iran-AS masih berlanjutan.

Pakar Yemen di Royal United Services Institute (RUSI), Baraa Shiban berkata, keadaan di negara itu semakin tidak terkawal apabila kerajaan Yemen yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuka beberapa medan baharu bagi meningkatkan tekanan terhadap Houthi.

Menurutnya, dalam tempoh 48 jam lalu, Houthi mencatat kemaraan besar ke selatan sepanjang pantai barat Yemen dan kini semakin hampir dengan kawasan tanah tinggi yang menghadap Selat Bab al-Mandab.

Peningkatan pertempuran itu merupakan yang paling serius sejak gencatan senjata tajaan PBB pada April 2022 yang sebelum ini menghentikan pertukaran serangan ketenteraan secara besar-besaran.

Perkembangan berkenaan turut mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan Arab Saudi mengaktifkan perjanjian pertahanan dengan Pakistan dan Turkiye selepas Riyadh melancarkan sehingga 40 serangan udara terhadap sasaran Houthi pada Khamis.

Namun, perjanjian berkenaan yang bersifat pertahanan dijangka sukar digunakan untuk operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman.

Kemaraan Houthi di selatan pelabuhan Hodeidah dipercayai bertujuan mewujudkan tekanan baharu terhadap Arab Saudi dan Amerika Syarikat supaya bersetuju dengan perjanjian yang akan menamatkan sekatan Amerika terhadap kapal tangki minyak Iran di Teluk.

Ketegangan terbaharu bermula selepas Houthi melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu balistik terhadap kemudahan tenaga serta beberapa bandar di selatan Arab Saudi.

Sebagai tindak balas, tentera Arab Saudi melancarkan sekurang-kurangnya 15 serangan udara antara 3 hingga 7 September lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu turut mengakui beliau tidak menjangka perang dengan Iran akan berakhir sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada awal November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button