BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Nenek nyaris dipatuk tedung selar

BALING – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila hampir dipatuk ular tedung selar sepanjang hampir lima meter ketika hendak ke tandas di rumahnya di Kampung Ketembar, Masjid Kuala Pegang, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 70 tahun itu terkejut sebaik membuka pintu tandas dan melihat reptilia berkenaan melingkar sebelum menghubungi anak lelakinya dan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.40 pagi, sebelum sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, dikerahkan ke lokasi.

“Anggota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular berkenaan kerana ia agresif dan beberapa kali menegakkan badan sehingga setinggi satu meter.

“Dengan menggunakan penjerut, anggota berdepan cabaran kerana ruang tandas yang sempit dan perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkhairi berkata, ular tedung selar itu dipercayai masuk melalui lubang paip bilik air yang tidak mempunyai penutup.

Reptilia berkenaan akhirnya berjaya ditangkap sebelum dilepaskan semula ke habitat asal jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada berikutan cuaca tidak menentu ketika ini yang menyebabkan persekitaran lebih lembap dan sejuk, sekali gus mengundang kemunculan reptilia berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button