BERITA SEMASA

Seorang atlet olahraga gagal ujian doping – ADAMAS

PUTRAJAYA – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan sampel pengujian kawalan doping dalam pertandingan yang diambil semasa Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 didapati positif atau Adverse Analytical Finding (AAF).

Menurutnya dalam satu kenyataan, pengesahan keputusan telah diterima dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga berkenaan dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel berkenaan iaitu dalam kelas S.6 Stimulants- sibutramine.

“Sibutramine merupakan bahan yang disenaraikan dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh World Anti Doping Agency (WADA)

“Atlet akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh ini, atlet akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaan beliau.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan.

“Prinsip kebertanggungjawaban mutlak adalah terpakai kepada atlet.

“Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
bahan yang terdapat dalam sampel urin dan atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.

“Oleh itu, adalah penting bahawa atlet dan Kakitangan Sokongan Atlet mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia.

“Pihak ADAMAS akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada ADAMAS Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button