Sektor inap desa mampu jana RM200 juta sempena VM2026
PUTRAJAYA – Sektor inap desa dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM200 juta menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sekali gus menjadi antara penyumbang utama kepada sasaran lima juta pelancong menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan potensi besar inap desa sebagai penggerak pelancongan desa yang bukan sahaja memberi manfaat ekonomi bahkan melestarikan budaya serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil. 2 Tahun 2025, di sini hari ini.
Mesyuarat itu menumpukan perbincangan terhadap pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) sebagai antara pemacu utama VM2026.
“Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi berkaitan komited memperkukuh PPHM.
“Sehingga Ogos lalu, program ini telah berjaya menjana pendapatan lebih RM39.83 juta dengan menerima lebih 620,000 pelancong inap desa di seluruh negara dengan Sabah, Johor dan Pahang mencatat jumlah tertinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah strategik bagi memastikan sektor inap desa terus berkembang dan bersaing di peringkat global.
Bagi aspek pemasaran dan promosi antarabangsa, pelbagai misi jualan, pameran dan seminar akan dilaksanakan di pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Korea, Jepun, Vietnam dan New Zealand.
Platform digital seperti jomhomestay.my dan go2homestay.my turut diperkasa bagi memudahkan urusan tempahan pelancong.
Selain itu, pengusaha juga ditawarkan lebih 12 skim pembiayaan serta geran kerajaan melalui agensi termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank, Bank Rakyat dan Skim Pembangunan Ekonomi Desa (SPED).
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengusaha meningkatkan kualiti premis dan memperkayakan pengalaman pelancong malah memperkukuh daya saing serta menjamin kelestarian produk komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, bagi memperkukuh segmen edu-tourism, pakej pelancongan pendidikan inap desa kini menyasarkan pelajar dari Jepun, Korea, China, Vietnam, Singapura dan Indonesia selain memperluas program pertukaran pelajar dengan kerjasama institusi pengajian tinggi serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Kerajaan juga meluluskan peruntukan lebih RM1.1 juta untuk baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan komuniti demi menyokong ekosistem inap desa.
Tumpuan khusus turut diberikan kepada pengusaha wanita melalui program TVET JELITA dan Latihan Pengoperasian Homestay anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 dan 3 dalam bidang keusahawanan inap desa.
“Inap desa adalah nadi penghubung antara pelancong dan komuniti desa. Ia bukan sahaja menjana pendapatan tetapi turut melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan dan membuka peluang baharu kepada generasi muda.
“Melangkah ke VM2026, kita mahu inap desa menjadi kebanggaan negara dan simbol hospitaliti desa Malaysia di mata dunia,” tegas beliau.
Ahmad Zahid berkata, dengan pendekatan bersepadu itu, sektor inap desa mampu menjadi pemacu utama industri pelancongan negara sekali gus mengangkat imej Malaysia di pentas global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















