SDH diperluas ke Pulau Pinang, manfaat lebih 400,000 murid
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited memastikan akses pendidikan inklusif kepada semua murid, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan di hospital, menerusi pelaksanaan program Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan murid tidak tercicir dalam pembelajaran sepanjang tempoh rawatan.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 20 program SDH telah beroperasi di seluruh negara, dengan lebih 400,000 murid mendapat manfaat sejak ia diperkenalkan.
“Terkini, program SDH diperluas ke Hospital Seberang Jaya, sekali gus menjadi yang pertama dilaksanakan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Beliau berkata, usaha berterusan itu turut diperkukuh melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan terhadap pendidikan inklusif serta kesaksamaan akses kepada semua lapisan masyarakat.
Program SDH yang mula dilaksanakan sejak 2011 bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif kepada murid yang menjalani rawatan jangka pendek atau panjang di hospital.
Dalam perkembangan berkaitan, KPM menegaskan komitmen berterusan untuk memperluas program tersebut ke lebih banyak hospital bagi memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








