BERITA SEMASA

Isu bendera terbalik: Dr Akmal gesa tindakan tegas, kecam alasan lepas tangan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyelar tindakan segelintir pemimpin politik yang mendakwa isu pemasangan bendera terbalik sering dipolitikkan dan menyalahkan orang ramai yang marah tentang isu itu sebagai gagal membina jambatan perpaduan.

Sedangkan kata Ahli Parlimen Merlimau itu, isu berkenaan berkait dengan asas patriotisme terhadap negara yang sepatutnya difahami semua golongan masyarakat.

Isu bendera terbalik: Dr Akmal gesa tindakan tegas, kecam alasan lepas tangan
Foto FB

Bahkan katanya, rakyat tidak akan marah sekiranya insiden itu berlaku buat pertama kali tetapi malangnya telah berulang kali berlaku terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan, seolah-olah tiada rasa hormat terhadap Jalur Gemilang.

“Macam mana kita nak bina jambatan perpaduan kalau perkara asas seperti hormat bendera negara pun tak faham?

“Malah, rakyat yang marah pula dituduh tak membantu perpaduan dan diletakkan kesalahan kepada OKU,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Akmal turut menyanggah cadangan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemasangan bendera dan menyifatkan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

“Takkan pasang bendera yang kita hormat sejak tadika sampai ke tua pun nak kena ada SOP? Kalau betul-betul tak tahu, boleh cari saja di Google.

“Yang kita minta adalah satu tindakan tegas kepada yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Akmal turut mempersoalkan laporan yang mendakwa individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik itu merupakan seorang pekerja orang kurang upaya (OKU), sambil menegaskan bahawa pihak sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab begitu sahaja.

“Kalau benar pekerja OKU yang pasang bendera, kenapa tiada pengawasan? Dan kenapa diberi tanggungjawab pasang bendera kalau tahu dia OKU?

“Apa peranan pihak sekolah sampai boleh lepas pandang bendera tergantung terbalik begitu sahaja?,” soalnya lagi.

Sehubungan itu, Dr. Akmal menggesa KPM supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada individu terbabit merupakan OKU fizikal atau mental.

“Jika melibatkan OKU mental, KPM perlu menjelaskan sama ada individu tersebut layak dan dibenarkan bekerja di kawasan sekolah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin politik yang cuba memperkecil isu tersebut dengan alasan ia tidak wajar dipolitikkan.

“Pemimpin yang kata ‘jangan politikkan isu ini’ sebenarnya sedang mempolitikkan isu ini. Ini bukan soal politik, ini soal kecintaan kepada negara,” tegasnya.

Dr. Akmal turut berharap KPM mengambil langkah tegas dan serius bagi memastikan insiden memalukan seperti itu tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button