BERITA SEMASA

Sanusi usah alih tiang gol, henti jadikan PM sasaran – Tunku Nashrul

ALOR SETAR – Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah mengecam kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghamburkan makian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar Kedah yang menerajui keputusan pentadbiran berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan undang-undang yang menyaksikan keputusan pentadbiran negeri itu dibatalkan mahkamah.

Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan berkenaan juga ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tunku Nashrul turut mendakwa wujud sikap bermuka-muka dalam pendirian PAS berhubung isu cabutan khas perjudian.

Beliau berkata, ketika PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai parti itu meningkatkan kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.

“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan Sanusi tidak seharusnya mengalihkan perhatian dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran berhubung keputusan yang berpunca daripada pentadbiran negeri sendiri.

“Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Datuk Seri Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.

“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button