BERITA SEMASA

Salah faham pengumuman kabin, AirAsia X sahkan pendaratan selamat di Incheon

KUALA LUMPUR – Kekeliruan tercetus dalam kalangan penumpang penerbangan AirAsia X (AAX) gara-gara salah faham terhadap pengumuman kru kabin selepas pesawat melencong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo.

Dalam satu kenyataan, AAX mengesahkan bahawa penerbangan D7506 dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon telah mendarat dengan selamat pada pukul 10.54 malam, kelmarin.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Gimpo pada sebelah petang untuk mengisi minyak berikutan kesesakan lalu lintas udara di Incheon akibat keadaan cuaca buruk.

“Keselamatan adalah keutamaan kami dan kapten telah bertindak mengikut sepenuhnya prosedur operasi standard, termasuk memaklumkan penumpang mengenai lencongan pada awalnya dalam bahasa Inggeris.

“Namun, berlaku salah faham dalam pengumuman anak kapal sejurus pesawat mendarat di Gimpo, dan kapten segera menjelaskan serta mengesahkan lencongan ke Gimpo adalah disebabkan cuaca buruk dan untuk pengisian minyak,” katanya.

Menurut syarikat itu lagi, kapten turut memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan yang dialami dan memberi jaminan bahawa pendaratan di Gimpo adalah bagi tujuan pengisian minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail menjelaskan bahawa insiden tersebut berlaku berikutan situasi cuaca buruk yang tidak dijangka di Incheon.

“Berikutan potensi kelewatan dan risiko mendarat dengan bahan api di bawah keperluan, pesawat telah dilencongkan ke Gimpo demi keselamatan untuk mengisi minyak,” katanya.

Tambah beliau, selepas semua prosedur keselamatan dilengkapkan, pesawat tersebut telah meneruskan perjalanan ke Incheon dan penumpang akhirnya selamat tiba di lapangan terbang berkenaan.

“Kami akan menyemak pengumuman dalaman dan proses perkongsian maklumat di atas kapal untuk memastikan kejelasan yang lebih jelas dalam situasi sebegini.

“Kami berterima kasih kepada tetamu kami atas pemahaman dan kerjasama mereka semasa pelarasan operasi ini, yang diperlukan untuk memastikan keselamatan semua orang di dalam pesawat.

“Sebagai penghargaan, AAX akan memberikan baucar perjalanan dan akan menghubungi tetamu yang terjejas secara langsung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button