AMINISIATIF KERAJAANRENCANA

RUU PSB: Harapan baharu bandar, di sebalik polemik persepsi

RANG Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) muncul di tengah-tengah arus perdebatan politik negara sebagai satu inisiatif besar yang berpotensi mengubah landskap bandar Malaysia.

Matlamatnya jelas iaitu untuk mempercepatkan proses pembangunan semula kawasan usang, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memastikan pembangunan bandar lebih tersusun serta inklusif.

Namun, di sebalik segala janji yang dibawa, tidak dinafikan wujud juga suara-suara sumbang yang menyifatkan PSB sebagai alat tersembunyi untuk menyingkirkan masyarakat Melayu daripada bandar.

PSB lebih tepat difahami sebagai kerangka penyelarasan bandar bukannya instrumen rampasan kuasa atau pencabulan hak milik. – Gambar hiasan

Spekulasi sebegini walau kedengaran lantang, hakikatnya tidak harus mengaburi kebaikan yang ditawarkan oleh RUU ini.

Salah satu aspek penting PSB ialah jaminan terhadap hak pemilik asal. Kerajaan menegaskan pemilik bukan sahaja diberi pampasan berdasarkan nilai masa depan malah mereka juga berhak kembali ke kediaman baharu yang lebih baik dan selesa.

Jika dilaksanakan secara telus, pendekatan ini mampu memutuskan kitaran hidup dalam flat usang dan persekitaran tidak kondusif, sekali gus membawa nafas baharu kepada keluarga berpendapatan rendah yang selama ini terperangkap dalam masalah perumahan bandar.

RUU ini turut memberi harapan kepada bandar-bandar lama yang semakin tenat. Data PLANMalaysia menunjukkan lebih 80 peratus bangunan bandar sudah berusia lebih 70 tahun manakala separuh daripadanya dikategorikan usang atau tidak selamat.

RUU PSB ini turut memberi harapan kepada bandar-bandar lama yang semakin tenat

Melalui PSB, proses pembangunan semula dapat dipercepatkan, mengelakkan projek terbengkalai dan membuka peluang kepada pembangunan lebih tersusun.

Bagi komuniti terpinggir pula, ia menjadi laluan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan bandar yang diwarisi sejak puluhan tahun.

Kebimbangan kononnya PSB akan mengikis kuasa negeri dan menghapuskan Tanah Rizab Melayu sebenarnya tidak berasas.

Sedangkan undang-undang sedia ada jelas meletakkan kuasa tanah kekal di tangan kerajaan negeri manakala status Tanah Rizab Melayu tidak boleh diubah sesuka hati.

PSB lebih tepat difahami sebagai kerangka penyelarasan bukannya instrumen rampasan kuasa atau pencabulan hak milik.

Namun seperti kita semua tahun dan tidak nafikan, spekulasi politik sukar dielakkan.

Tuduhan bahawa PSB adalah helah untuk ‘mengusir orang Melayu’ sudah kedengaran, meskipun ia telah ditolak oleh beberapa pihak termasuk wakil rakyat kerajaan yang menyifatkannya sebagai fitnah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada sesi taklimat bersama Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Parlimen Malaysia berhubung Cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar PSB (RUU PSB) hari ini. – Foto Facebook PLANMalaysia

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyifatkan tuduhan bahawa PSB bertujuan mengusir orang Melayu sebagai ‘fitnah jahat’.

Ironinya, ketika lebih 100 sesi libat urus telah dijalankan, tiada seorang pun wakil pembangkang hadir, sekali gus menimbulkan persoalan: adakah bantahan mereka benar-benar berasaskan kebimbangan rakyat atau hanya strategi politik?

Akhirnya, RUU PSB tidak harus dilihat hanya sebagai dokumen undang-undang, tetapi sebagai penentu hala tuju pembangunan bandar negara.

Menolaknya bulat-bulat bererti menutup peluang untuk memperbaiki kehidupan rakyat bandar yang berdepan masalah perumahan dan persekitaran tidak kondusif.

Namun keyakinan rakyat hanya akan bertahan jika pelaksanaannya benar-benar telus, adil dan berpaksikan rakyat, bukannya keuntungan pemaju semata-mata.

Sekiranya berjaya, PSB boleh menjadi mercu tanda transformasi bandar Malaysia. Satu bandar yang lebih tersusun, adil, inklusif dan manusiawi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button