BERITA SEMASA

Rombakan Kabinet: Fahmi ucap terima kasih kepada menteri terdahulu

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan kepada semua menteri terdahulu atas sumbangan mereka susulan rombakan Jemaah Menteri.

Beliau berkata, segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh barisan menteri terdahulu amat dihargai dan diharapkan dapat diteruskan dalam apa jua kapasiti demi kepentingan negara.

“Saya bagi pihak Jemaah Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berkhidmat.

“Saya doakan agar mereka terus dapat menyumbang bakti kepada negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, Perdana Menteri akan meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan tokoh-tokoh berkenaan terus memainkan peranan dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan istiadat angkat sumpah bagi menteri dan timbalan menteri baharu dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi esok di Istana Negara.

Fahmi berkata, bagi individu yang bukan Ahli Parlimen, mereka perlu terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai senator sebelum menjalani istiadat angkat sumpah sebagai menteri.

Dalam pada itu, Fahmi turut menyentuh mengenai pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufik Johari yang diamanahkan sebagai Menteri Belia dan Sukan, dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai tepat dan bersesuaian.

“Saya melihat beliau sebagai seorang yang aktif serta mempunyai idea-idea segar yang boleh diterjemahkan bagi memastikan bidang belia dan sukan negara terus diperkasakan,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebagai pilihan tepat memandangkan pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen Segambut serta penglibatan aktif dalam memperjuangkan isu-isu rakyat di Kuala Lumpur.

Menurut Fahmi, antara keutamaan yang diyakini akan diberikan perhatian oleh Hannah Yeoh ialah aspek pembangunan mampat dan isu kolam takungan yang berkait rapat dengan kesejahteraan penduduk bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button