BERITA SEMASAPOLITIK

Rombakan Kabinet MADANI: 7 menteri, 8 timbalan angkat sumpah di Istana Negara

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI dimuktamadkan hari ini apabila tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam istiadat rasmi di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan, Sumpah Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di Singgahsana Kecil pada pukul 10 pagi, memetik laporan Bernama.

Angkat Sumpah
Istiadat ini berlangsung pada pukul 10 pagi di Istana Kecil yang turut disaksikan Anwar. 

Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada istiadat sama, lapan timbalan menteri yang baharu dilantik turut mengangkat sumpah jawatan, melengkapkan pelantikan kepimpinan baharu susulan penyusunan semula barisan pentadbiran kerajaan.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio bagi mengisi kekosongan dan menyesuaikan keperluan semasa Kabinet Kerajaan MADANI.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia, diikuti majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Rombakan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh keupayaan Kabinet dalam mendepani cabaran semasa serta memastikan kesinambungan agenda reformasi dan pembangunan negara.

Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri serta timbalan menteri yang baharu bersama Sultan Ibrahim sebelum Baginda meninggalkan Istana Negara pada pukul 10.45 pagi.

Tujuh menteri yang mengangkat sumpah ialah:

Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bertukar daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datuk Seri R Ramanan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi, bertukar daripada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), lantikan baharu.

Dr Zulkifli Hasan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertukar daripada Timbalan Menteri portfolio sama.

Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang merupakan lantikan baharu.

Timbalan menteri yang merupakan lantikan baharu pula ialah:

1. Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

2. Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

3. R Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

4. Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

5. Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

6. Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

7. Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

8. Marhamah Rosli dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button