BERITA SEMASA

RMK13 fokus kurangkan jurang wilayah, sasar RM93.9 bilion untuk negeri kurang membangun

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan hala tuju pembangunan ekonomi negara dengan menumpukan pengurangan jurang wilayah serta pelaburan strategik, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, sebanyak RM93.9 bilion diperuntukkan khusus bagi membangunkan negeri kurang membangun termasuk pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet.

“Sebanyak 2,800 kilometer jalan luar bandar akan dibina di bawah RMK13, dengan 70 peratus daripadanya dilaksanakan di negeri kurang membangun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 di Dewan Negara, semalam.

Jelasnya, pembangunan wilayah turut diperkukuh melalui projek berimpak tinggi antaranya Kedah Rubber City, lapan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Perlis Inland Port, Taman Teknologi Tinggi Kulim, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian serta Bandar Perindustrian Maritim.

Katanya, negeri di pantai timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu pula disasarkan sebagai hab pengeluaran makanan utama manakala Sarawak akan diperkasa sebagai pusat pembangunan tenaga berasaskan hidro dan teknologi hidrogen.

“Dalam tempoh RMK13, pihak berkuasa koridor menyasarkan nilai pelaburan RM75 bilion dengan potensi mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan mahir,” katanya.

Amir Hamzah turut memaklumkan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSEZ) sehingga kini berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM1.34 bilion, selain minat tambahan bernilai RM75 juta yang sedang dirunding bersama 70 syarikat antarabangsa dari Belanda, China, Jerman, Singapura, United Kingdom dan pelabur tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button