BERITA SEMASALUAR NEGARA

Madinah sediakan unit dialisis khas untuk jemaah haji

MADINAH – Kluster Kesihatan Madinah menubuhkan sebuah unit khas rawatan dialisis di Pusat Buah Pinggang King Fahad (KFKC) bagi memastikan jemaah haji yang menghidap penyakit buah pinggang menerima rawatan perubatan sepanjang musim haji.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), kemudahan tersebut dilengkapi dengan 13 mesin dialisis berteknologi tinggi yang mampu menjalankan lebih daripada 26 sesi rawatan setiap hari.

Ketua Kluster Kesihatan Madinah memaklumkan, penubuhan unit rawatan dialisis merupakan salah satu inisiatif penting bagi memastikan jemaah haji memperoleh rawatan kesihatan yang efisien tanpa menjejaskan kelancaran ibadah mereka.

“Pasukan perubatan pakar telah ditempatkan khusus untuk memantau tahap keselamatan dan keberkesanan setiap rawatan, selain memastikan prosedur dijalankan mengikut piawaian klinikal tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kluster Kesihatan Madinah turut bekerjasama dengan delegasi perubatan negara pengirim jemaah bagi mendapatkan maklumat kesihatan lebih awal sebelum ketibaan di Tanah Suci.

“Langkah itu membolehkan proses penilaian awal dilakukan dengan lebih terancang, sekaligus memudahkan penyediaan rawatan yang bersesuaian mengikut keperluan individu jemaah.

“Pendekatan bersepadu membolehkan sesi dialisis dijadualkan segera sebaik sahaja jemaah tiba di Madinah, sekali gus mengurangkan masa menunggu serta melancarkan pengurusan logistik dan pergerakan pesakit sepanjang musim haji.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang holistik, bersepadu dan responsif, agar para jemaah dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selesa, selamat dan terjaga,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button